Wednesday, January 5, 2011

Separate parents

Terdapat masalah yang timbul dalam kekeluargaan pada masa sekarang.  Selain dari kes dera dan penceraian terdapat juga satu kes iaitu keluarga terpisah.   Bukan bercerai tetapi si suami bekerja di tempat lain dan si isteri pula bekerja di tempat lain.  Menunggu proses pertukaran tempat kerja masih tiada kesudahan.

Bilangan pasangan yang terpisah ini semakin meningkat dari hari ke hari akibat tekanan ekonomi keluarga.  Pernah saya temui si suami bekerja sebagai pemandu pengangkutan awam di Kuala Lumpur manakala si isteri pula bekerja sebagai pendidik di Setiu Terengganu.  Si suami akan berada di sisi si isteri selang dua tiga minggu sekali.  Anak-anak di bawah jagaan si isteri.  Tanggung jawab yang berat diserahkan di atas bahu si isteri.  Dan juga menjadi tekanan kepada si isteri.  Di pagi hari perlu menghantar anak-anak ke sekolah dan tempat ashan kanak-kanak dan terus bekerja.  Mengurus dari A hingga Z keperluan anak-anak, dan si suami hanya mengeluarkan duit poket sebagai belanja.  Tanggung jawab sebagai ayah masih pada tahap minima.

Alangkah baiknya jika ada akta perundangan keluarga yang mengarahkan si ayah untuk berpindah tempat bertugas samada syarikat swasta, GLC mahupun kerajaan ke tempat kerja yang berhampiran tempat kerja si isteri dan sebaliknya.  Demi kepentingan masa depan anak-anak yang perlu didikan kedua-dua ibubapa mereka.  Mereka seharusnya hidup dalam suasana yang kurang tertekan dari pengalaman ibu mereka yang berdikari seorang diri dan tidak melihat seorang lelaki yang bernama ayah hanya muncul sekali-sekala dan pada hari perayaan sahaja.  Ianya seperti mendidik si anak kepada kurang kepertanggungjawaban kepada ahli keluarganya kelak.

Gejala sumbang juga mudah berlaku jika pasangan tinggal berjauhan.  Masing-masing perlukan nikmat berumahtangga dan jika terdapat anasir lain yang masuk ke dalam hubungan itu, maka hubungan itu mudah retak.  Suami yang sudah berumah tangga biasanya lebih romantis berbanding lelaki bujang dan akan menjadi tumpuan kepada wanita yang bekerja di samping beliau.  Dan jika kedua-duanya terlalu rapat maka terjadilah kes suami orang mengajak anak dara berkahwin.  Jika si wanita ini tidak tahu si lelaki ini sudah beristeri maka terjadilah pembohongan.  Amat mudah si lelaki mengaku bujang, sebab ia berada di tempat asing dari isteri beliau.

Diharap perkara ini dapat dipantau demi kebaikan kaum hawa di negara ini.  Sekian.

No comments:

Post a Comment